‘Dusta Yang Indah’ Sebagai Perantara

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Izinkan saya kali ini membuat sedikit resensi terhadap puisi Dusta Yang Indah oleh Dr Jurry Foo (JF).

Puisi ini telah diterbitkan di akhbar New Sabah Times terbitan 3 Disember 2017. Alasan saya memilih puisi ini kerana ia telah berjaya menerima Hadiah Suntik kategori puisi. Penilai waktu itu ialah Hasyuda Abadi.

Mula-mula saya membaca karya ini, secara tidak langsung ia berjaya mengembalikan memori ketika kecil. Membuatkan saya mengira dan menyenarai dalam minda ‘kedustaan’ yang ibu dan ayah telah beri.

Sebenarnya puisi ini tidak kompleks. Sekali baca boleh difahami selapis. Tetapi, bait terakhir itu yang membuatkab saya berfikir panjang. Ada benarnya.

“…dusta yang indah hanya dari ibu bapa pencinta”

Saya menjadi pegun seketika. Ibubapa yang tidak punya cinta tidak akan berdusta. Tidak berduata bermakna tidak ada kemahuan semulajadi untuk membesarkan anak sebagai amanat Allah.

Hal ini telah menggugah, keikhlasan kita sebagai ibu dan juga kita sebagai anak. Jadi, boleh saya katakan bahawa puisi ini berada di tengah-tengah. Ia tidak menggambarkan kita sebagai ibu bapa atau kita sebagai anak. Ia sebenarnya menegur kita sebagai manusia. Bagaimana kita menyikapi, apa yang kita telah lakukan untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebagai manusia. Dan keluarga sebagai institusi terbesar menjadi bahan dalam penyampaian makna puisi ini.

Justeru, inilah tanggapan atau penilaian saya selepas membaca karya ini. Saya juga ingin tahu apa pula tanggapan anda.

Suntik 6.0

Baru siang tadi selesai acara bulanan Suntik kali keenam. Kali ini menampilkan dua penilai berwibawa, tokoh sastera Sabah terkenal Haji Sukor Hj Usin (Hasyuda Abadi) dan Raymond Majumah.

Acara dimulakan dengan apresiasi puisi oleh Hasyuda Abadi yang memfokuskan kepada pemilihan judul.

Judul umpama pintu. Untuk memasuki alam pemikiran karya

-Hasyuda Abadi

Kebanyakan penulis mengabaikan pemilihan judul yang sesuai. Apabila tidak berkaitan dengan konteks ia menjadi lemah. Judul sebagai penarik untuk membaca keseluruhan isi.

Sebaiknya pilihlah judul yang menggunakan diksi baharu

-Hasyuda Abadi

Saya sangat bersetuju dengan kenyataan ini. Memanglah itulah kecenderungan pembaca, lihat judul baru baca dan sebagai penulis kreatif kita mesti mengambil kesempatan ini. Bukan apa, takut nanti isi karya yang baik tidak dibaca kerana judul kurang menarik. Sayang!

Hasyuda Abadi memberikan contoh-contoh karya yang terbit di akhbar-akhbar tempatan Sabah. Melalui cara ini sebagai audiens saya nampak lebih jelas terhadap penerangan yang beliau sampaikan. Saya sendiri mempunyai kelemahan terhadap hal ini.

Oleh itu, puisi Dr Jurry Foo telah berjaya menambat hati beliau bertajuk “Dusta Yang Indah”

Manakala cerpen pula disampaikan oleh Cikgu Raymund Majumah. Pengalaman beliau sebagai seorang guru digabungkan dengan pengalaman beliau sebagai penulis. Ini juga sebuah pengalaman yang menarik. Beliau menyenaraikan beberapa buah cerpen daripada lima belas buah keseluruhannya. Ternyata beliau memilih cerpen indah yang berjaya menggugah jiwanya.

Beliau menerangkan satu persatu kemudian menyentuh beberapa kesilapan yang dilakukan oleh penulis. Ada satu menurut beliau karya yang bukan berbentuk cerpen.

Ia lebih kepada karya (prosa) klasik

-Raymund Majumah

Selain itu, beliau juga tidak berapa menyenangi apabila penulis Malaysia menggunakan bahasa Indonesia.

Bila penulis menggunakan Bahasa Indonesia jelas dia meniru

-Raymund Majumah

Hal ini tidak dipersetujui oleh Cikgu Noor Aisyah kerana ada perkataan Indonesia yang apabila digabungkan mengindahkan diksi karya kita.

Kemudian, Cikgu Raymund menambah,

Bukannya tidak boleh. Boleh,cuma apabila menggunakan bahasa asing sedikit mengganggu pengaliran bacaan

-Raymund Majumah

Akhirnya, karya saudara Jelison Jupin bertajuk “Rusuh Hujan” telah berjaya merangkul hadiah suntikan Suntik bagi kategori cerpen.

Kesimpulannya, acara sebegini wajar dilakukan setiap bulan menyuntik semangat para penulis untuk merebut tempat dalam kerusi diskusi sastera santai hujung minggu.

Jadi, kepada yang tidak berkesempatan pergi kali ini, kita jumpa di Suntik 7.0 10 Februari 2018 nanti.

Sila lawat Facebook Page Suntik untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Facebook Page Suntik:

https://www.facebook.com/suntikofficial/