Beza Pendapat Cetus Sengketa

Oleh: M I Fitri

Bagaimana sikap kita dalam mendepani isu perbezaan?

Debat menjadi ruang unggul dalam melihat dunia perbezaan pendapat. Semua fakta yang dilontarkan tidak hanya sekadar ungkapa, melainkan disertai bukti-bukti kukuh. Antara debat terkenal ialah Lincoln-Douglas. Dua tokoh yang mempunyai perbezaan ideologi dalam menentukan corak pemerintahan Amerika. Selain, debat Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad terhadap isu sastera. Sastera untuk sastera atau sastera untuk masyarakat. Dalam politik tentunya debat di Parlimen. Membincangkan isu-isu pentadbiran negara. (Ini semua berdasarkan ruang lingkup pengetahuan penulis). Jadi, apakah tujuan utama diskusi terhadap perbezaan ini? Apakah yang ingin dicapai menjadi kata putus di akhir perbincangan.
Secara umum kita mengetahui bahawa debat adalah salah satu cara untuk mengutarakan jalan penyelesaian berdasarkan ruang pandang si pendebat. Bila disebut ruang pandang ia semestinya terhad. Tidak mencakupi keseluruhan gambaran terhadap permasalahan. Boleh dikatakan berat sebelah. Andaikan ‘0’ adalah masalah. Pendebat A akan melihat penyelesaian dari sudut a. Pendebat B akan melihat penyelesaian dari sudut b. Jadi, secara mudahnya kiya pasti tidak akan menemui titik silang kepada 0. Audiens akan melihat dua jalan yang berbeza. Menimbal balik yang mana satukah jalan terbaik. Mengira berapa banyak kebaikan di sudut a dan b. Tidakkah anda terfikir, jadi apakah sebenarnya tujuan kita berdebat jika tidak menemui titik silang. Pasti tidak akan berlaku persamaaan dalam perbincangan yang sedang diutarakan. Wajarkah lagi kita mengutarakan perbincangan sedangkan akhirnya kedua-dua pendebat masih menegakkan keputusan mereka.
Pernah anda mendengar ungkapan “raih persamaan, raikan perbezaan”? Bermaksud bahawa kita patut menerima perbezaan dan meraikan persamaan pendapat. Percayalah tidak ada seorang pun yang akan bersetuju dengan apa yang kita pegang. Tidak akan ada seorang pun akan bersetuju dengan kita. Walaupun melihat subjek yang sama. Apatah lagi berbeza.

Menangani Perbezaan

Unjuran saya dalam tulisan ini adalah untuk kita menerima perbezaan kemudian raikan persamaan. Bukan juga ingin menyarankan anda untuk terus menerima dan bersetuju. Perbezaan tetap perbezaan. Sanggah tetap sanggah. Cuma, sebwlum kita menyanggah cuba hadam dulu kemudian selarikan dengan pemikiran kita. Jika berlaku pertentangan utarakanlah dengan penuh berhemah dan berhikmah. Jangan terus-terus menolaknya pula. Itu bukan cara terbaik dalam usaha kita untuk mencapai kata putus dalam harmoni. Semua perkara perlu dibincangkan. Ada pula pendebat yang berniat hanya untuk menjatuhkan lawannya saja tanpa mengambil kira persamaaan yang ada. Sentiasa menolak hujah lawan hanya akan memakan diri. Sebaiknya, kita atur satu-satu. Ketika lawan menghulur bunga kita sambut. Hadam. Setelah faham baru atur semula bunga untuk menyerang semula. Jika terus-menerus menyerang, hanya akan merugikan kedua-dua pihak. Masa dan tenaga terbuang begitu sahaja! Walaupun berbeza, hujah yang diutarakan pasti ada kebaikannya juga. Tidak semua hujah itu sekadar di mulut. Keberanian pula perlu bertempat. Hanya orang berilmu yang akan memahami situasi. Hanya pemikir sahaja yang akan tahu jalan keluar atau titik tengah. Biasanya, seorang pemikir dia mudah menerima dna menghadam. Tapi, tidak bagi orang yang malas berfikir. Hanya tahu menyerang tetapi tidak mahu memehami lawan. Ini bahaya!
Tidak. Debat jika didalami betul-betul bukan sekadar satu sesi serang menyerang. Ia bukan sekadar adegan bangkang membangkang. Sebenarnya ia lebih ruang suara kedua-dua pihak berlainan ideologi.

bersambung…

Menilai Semula Dunia Persuratan

Oleh: M I Fitri

Sebilangan orang menganggap puisi adalah sebuah luahan hati. Sebilangan lagi menganggap puisi adalah kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik. Kemudian di dalam dunia puisi ada istilah yang dipanggil licentia poetica. Kebebasan untuk menulis apa saja menggunakan apa saja. Namun, bagi saya puisi adalah jiwa.

Memanglah saya juga turut bersetuju kepada anggapan-anggapan yang diutarakan terhadap puisi. Tidak ada salahnya. Persoalan saya jika puisi adalah luahan hati atau kata-kata terbaik dalam susunan terbaik kenapa puisi yang memiliki kerancuan jiwa paling tinggi diangkat? Bukankah ia adalah kata-kata yang paling tidak terbaik? Lalu, mengapa puisi yang ditulis menggunakan bahasa dan kata-kata yang cantik tidak diterima sebagai karya agung. Buku puisi yang baik ini akhirnya tidak berlaku perbincangan dan akhirnya tersimpan di dalam rak. Berbanding buku-buku yang kontroversi. Perbincangannya terus saja berlaku.

Mari kita lari sedikit daripada anggapan-anggapan tersebut. Bagi melihat semula apa itu puisi. Pada asasnya ia adalah satu perkataan yang memperkatakan tentang perasaan menggunakan kata-kata terpilih dalam susunan yang terbaik. Apa istilah yang sesuai untuk kita katakan sebuah penulisan tersebut? Bagi saya, ia tetap saja sebuah bentuk akasara yang boleh dibaca. Memiliki sesuatu yang ingin disampaikan. Datangnya dari jiwa seorang penulis. Oleh itu, kita dapat melihat tulisan yang menangis, ketawa, gembira, sedih, seram dan marah. Bukankah ini jiwa seseorang. Asal namanya insan pasti memiliki semua ini. Justeru, proses kreatif pula cara bagaimana ia dihasilkan.

Maka, proses menzahirkan perasaan dalam bentuk tulisan ini dipanggil sebagai dunia persuratan. Apa sahaja niat yang terkandung di dalamnya adalah cerminan kepada jiwa seorang insan. Oleh sebab itulah saya suka mengatakan bahawa puisi dan cerpen adalah sebuah bentuk jiwa; persembahan penulis (pengkarya) yang boleh dibaca dan boleh dirasai (empati) oleh pembaca (audiens).

Baik, sekarang kita berbalik kepada anggapan awal tadi, saya ingin mengutarakan bahawa salah satu cara untuk “memikat” audiens adalah dengan menyusun luahan hati menggunakan kata-kata terbaik dalam susunan terbaik. Kenapa? Kerana Ini semua ada kaitannya adab dalam budaya Melayu yang mementingkan sopan dan santun. Ini secara tidak langsung menguatkan hujah tentang ‘tidak semua luahan hati adalah puisi’. Bayangkan kalau kita tulis puisi marah-marah menggunakan kata-kata kesat dan makian. Pasti tidak akan diterima oleh masyarakat. Percubaan Shahnon Ahmad untuk buku S.H.I.T sudah menjawab persoalan ini. Malah, kini ia diharamkan atas alasan mengancam keselamatan dan ketenteraman negara. Timbul pula persoalan bagaimana buku boleh mengancam keselamatan? Kemudian bercanggah dengan puisi Usman Awang, “suatu bangsa tidak akan menjadi besar/ tanpa memiliki sifat kurang ajar”. Saya tidaklah berani untuk menjawab persoalan ini, sekadar mahu memberi pandangan. Ia sebenarnya bukan soal mengancam kesejahteraan atau apa, tapi melalui bahasa kita dapat menyampaikan sesuatu yang dalam. Jangan lagi kita menolak bahawa kita mampu membaca seseorang melalui tulisannya. Cuma saja, tidak semua yang dapat melakukannnya.