Menilai Semula Dunia Persuratan

Oleh: M I Fitri

Sebilangan orang menganggap puisi adalah sebuah luahan hati. Sebilangan lagi menganggap puisi adalah kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik. Kemudian di dalam dunia puisi ada istilah yang dipanggil licentia poetica. Kebebasan untuk menulis apa saja menggunakan apa saja. Namun, bagi saya puisi adalah jiwa.

Memanglah saya juga turut bersetuju kepada anggapan-anggapan yang diutarakan terhadap puisi. Tidak ada salahnya. Persoalan saya jika puisi adalah luahan hati atau kata-kata terbaik dalam susunan terbaik kenapa puisi yang memiliki kerancuan jiwa paling tinggi diangkat? Bukankah ia adalah kata-kata yang paling tidak terbaik? Lalu, mengapa puisi yang ditulis menggunakan bahasa dan kata-kata yang cantik tidak diterima sebagai karya agung. Buku puisi yang baik ini akhirnya tidak berlaku perbincangan dan akhirnya tersimpan di dalam rak. Berbanding buku-buku yang kontroversi. Perbincangannya terus saja berlaku.

Mari kita lari sedikit daripada anggapan-anggapan tersebut. Bagi melihat semula apa itu puisi. Pada asasnya ia adalah satu perkataan yang memperkatakan tentang perasaan menggunakan kata-kata terpilih dalam susunan yang terbaik. Apa istilah yang sesuai untuk kita katakan sebuah penulisan tersebut? Bagi saya, ia tetap saja sebuah bentuk akasara yang boleh dibaca. Memiliki sesuatu yang ingin disampaikan. Datangnya dari jiwa seorang penulis. Oleh itu, kita dapat melihat tulisan yang menangis, ketawa, gembira, sedih, seram dan marah. Bukankah ini jiwa seseorang. Asal namanya insan pasti memiliki semua ini. Justeru, proses kreatif pula cara bagaimana ia dihasilkan.

Maka, proses menzahirkan perasaan dalam bentuk tulisan ini dipanggil sebagai dunia persuratan. Apa sahaja niat yang terkandung di dalamnya adalah cerminan kepada jiwa seorang insan. Oleh sebab itulah saya suka mengatakan bahawa puisi dan cerpen adalah sebuah bentuk jiwa; persembahan penulis (pengkarya) yang boleh dibaca dan boleh dirasai (empati) oleh pembaca (audiens).

Baik, sekarang kita berbalik kepada anggapan awal tadi, saya ingin mengutarakan bahawa salah satu cara untuk “memikat” audiens adalah dengan menyusun luahan hati menggunakan kata-kata terbaik dalam susunan terbaik. Kenapa? Kerana Ini semua ada kaitannya adab dalam budaya Melayu yang mementingkan sopan dan santun. Ini secara tidak langsung menguatkan hujah tentang ‘tidak semua luahan hati adalah puisi’. Bayangkan kalau kita tulis puisi marah-marah menggunakan kata-kata kesat dan makian. Pasti tidak akan diterima oleh masyarakat. Percubaan Shahnon Ahmad untuk buku S.H.I.T sudah menjawab persoalan ini. Malah, kini ia diharamkan atas alasan mengancam keselamatan dan ketenteraman negara. Timbul pula persoalan bagaimana buku boleh mengancam keselamatan? Kemudian bercanggah dengan puisi Usman Awang, “suatu bangsa tidak akan menjadi besar/ tanpa memiliki sifat kurang ajar”. Saya tidaklah berani untuk menjawab persoalan ini, sekadar mahu memberi pandangan. Ia sebenarnya bukan soal mengancam kesejahteraan atau apa, tapi melalui bahasa kita dapat menyampaikan sesuatu yang dalam. Jangan lagi kita menolak bahawa kita mampu membaca seseorang melalui tulisannya. Cuma saja, tidak semua yang dapat melakukannnya.

Perginya Seorang Intelektual

Saya di tag oleh Pak Engku tentang pemergian Kassim Ahmad (Aly) di laman sosial Facebook.

Pemergian beliau pasti akan dirasai oleh semua yang membaca buku-buku beliau. Saya sendiri tak pernah bersua muka walau pun berniat mahu bertemu di acara sastera. Namun, tak kesampaian. Semoga beliau ditempatkan bersama orang-orang beriman.

3 Tips Membaca Buku

Membaca memberi isi kepada jiwa. Jika anda sudah rasa kosong (baca bosan) dengan perkara yang anda buat, bacalah buku. Buku jenis apa pun tak kisah. Melalui pembacaan ia dapat mengelakkan diri daripada rasa menyampah.

Jadi, apa yang patut anda buat?

Sumber: Facebook Zalila Isa

1) Pilih Kaver Yang Menarik

Pilih kaver dan isi yang menarik. Lihat rekaan luar buku. Pastikan ia memikat anda. Walaupun orang selalu cakap jangan nilai buku kerana luarannya. Tapi, ini bukan soal menilai. Sekarang soal memilih. Mesti mau lihat kaver. Kaver yang baik menunjukkan kesungguhan penulis buku. Melihat isi pula saya ambil tips dari Adi Helmi. Katanya, kalau nak lihay isi buku yang baik, buka secara rawak kemudian baca. Kalau bacaan itu menarik, maka isinya pasti menarik. Sesuai dengan citarasa sendiri. Bukan orang lain.

2) Lihat Isi Kandungan

Membaca kesuluruhan iso kandungan membantu anda untuk memetakan bacaan. Ia berfungsi sebagai peta minda supaya anda tahu ke mana arah bacaan. Dan mengelakkan anda mengantuk.

3) Baca Prakata (Jika Ada)

Di sinilah ringkasan cerita keseluruhan buku. Biasanya buku ilmiah mesti ada. Jarang ada pada novel. Buku antologi pula sesetengahnya ada. Kemudian barulah baca isi.

Ini baru sebahagian tips. Ada lagi nanti saya kongsi. Buat masa ni cukup tiga dahulu.