Menilai Semula Dunia Persuratan

Sebilangan orang menganggap puisi adalah sebuah luahan hati. Sebilangan lagi menganggap puisi adalah kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik. Kemudian di dalam dunia puisi ada istilah yang dipanggil licentia poetica. Kebebasan untuk menulis apa saja menggunakan apa saja. Namun, bagi saya puisi adalah jiwa.

Memanglah saya juga turut bersetuju kepada anggapan-anggapan yang diutarakan terhadap puisi. Tidak ada salahnya. Persoalan saya jika puisi adalah luahan hati atau kata-kata terbaik dalam susunan terbaik kenapa puisi yang memiliki kerancuan jiwa paling tinggi diangkat? Bukankah ia adalah kata-kata yang paling tidak terbaik? Lalu, mengapa puisi yang ditulis menggunakan bahasa dan kata-kata yang cantik tidak diterima sebagai karya agung. Buku puisi yang baik akhirnya tidak berlaku ‘ketidaksetujuan’ dan akhirnya tersimpan di dalam rak. Berbanding buku-buku yang kontroversi. Perbincangannya terus saja berlaku.

Mari kita lari sedikit daripada anggapan-anggapan tersebut. Bagi melihat semula apa itu puisi. Pada asasnya ia adalah satu perkataan yang memperkatakan tentang perasaan menggunakan kata-kata terpilih dalam susunan yang terbaik. Apa istilah yang sesuai untuk kita katakan sebuah penulisan tersebut? Bagi saya, ia tetap saja sebuah bentuk akasara yang boleh dibaca. Memiliki sesuatu yang ingin disampaikan. Datangnya dari jiwa seorang penulis. Oleh itu, kita dapat melihat tulisan yang menangis, ketawa, gembira, sedih, seram dan marah. Bukankah ini jiwa seseorang. Asal namanya insan pasti memiliki semua ini. Justeru, proses kreatif pula cara bagaimana ia dihasilkan.

Maka, proses menzahirkan perasaan dalam bentuk tulisan ini dipanggil sebagai dunia persuratan. Apa sahaja niat yang terkandung di dalamnya adalah cerminan kepada jiwa seorang insan. Oleh sebab itulah saya suka mengatakan bahawa puisi dan cerpen adalah sebuah bentuk jiwa; persembahan penulis (pengkarya) yang boleh dibaca dan boleh dirasai (empati) oleh pembaca (audiens).

Baik, sekarang kita berbalik kepada anggapan awal tadi, saya ingin mengutarakan bahawa salah satu cara untuk “memikat” audiens adalah dengan menyusun luahan hati menggunakan kata-kata terbaik dalam susunan terbaik. Kenapa? Kerana Ini semua ada kaitannya adab dalam budaya Melayu yang mementingkan sopan dan santun. Ini secara tidak langsung menguatkan hujah tentang ‘tidak semua luahan hati adalah puisi’. Bayangkan kalau kita tulis puisi marah-marah menggunakan kata-kata kesat dan makian. Pasti tidak akan diterima oleh masyarakat. Percubaan Shahnon Ahmad untuk buku S.H.I.T sudah menjawab persoalan ini. Malah, kini ia diharamkan atas alasan mengancam keselamatan dan ketenteraman negara. Timbul pula persoalan bagaimana buku boleh mengancam keselamatan? Kemudian bercanggah dengan puisi Usman Awang, “suatu bangsa tidak akan menjadi besar/ tanpa memiliki sifat kurang ajar”. Saya tidaklah berani untuk menjawab persoalan ini, sekadar mahu memberi pandangan. Ia sebenarnya bukan soal mengancam kesejahteraan atau apa, tapi melalui bahasa kita dapat menyampaikan sesuatu yang dalam. Jangan lagi kita menolak bahawa kita mampu membaca seseorang melalui tulisannya. Cuma saja, tidak semua yang dapat melakukannnya.

Apa Itu Suntik?

Suntik merupakan acara bulanan yang diadakan di Sudut Penulis Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS). Tujuannya adalah untuk menilai, mengkritik dan mengapresiasi karya eceran yang keluar di akhbar tempatan. Sesuai dengan akronimnya Suntik Nilai dan Cantik, ia membantu para pengkarya mengenal pasti kelemahan dan kelebihan karya. Dua panel akan dilantik mengkhususkan kepada cerpen dan puisi. Setiap panel yang dilantik diberikan kebebasan untuk membahaskan kelemahan dan kelebihan karya tersebut. Sebagai galakan kepada penulis, di akhir penilaian dua penilai tersebut akan memilih setiap satu karya puisi dan cerpen yang layak untuk menerima hadiah galakan iaitu Hadiah Suntik.

Idea asal Suntik tercetus ketika pertemuan yang diketuai oleh Ruhaini Matdarin, Rodiah Haji Said, Nelson Dino, Dr Mizpal Ali dan M I Fitri. Ruhaini mengutarakan hasrat mahu membuat program membaca puisi. Beliau memerlukan sokongan kami berempat. Namun saya, tidak berapa bersetuju dengan cadangan Ruhaini. Menurut saya, impak program baca puisi tidak berapa membantu penulis sastera tempatan. Apa yang kekurangan di negeri kita ini adalah kritikan dan apresiasi dalam bentuk diskusi. Saya pun mencadangkan, berbanding membaca puisi adalah lebih kita buat satu program baca puisi yang diadili juri.

Pada awalnua saya mencadangkan, setiap pemuisi akan berada di pentas kemudian diadili oleh juri. Sama seperti program realiti televisyen Korea “I Can See Your Voice”. Bukan kerana saya ini peminat ‘K-Pop. Tapi, saya berpendapat program realiti itu sangat bagus. Ia mengangkat kedua-dua penyanyi mapan dan penyanyi baru. Begitulah juga sastera, kita memerlukan satu acara yang boleh mengangkat kedua-dua penulis mapan dan baru.

Idea ini kemudiannya dipersetujui oleh Nelson. Dia juga beranggapan acara baca puisi sudah terlalu biasa. Program baca puisi tidak berapa membantu penulis baru. Bagaimana mereka hendak berpuisi sedangkan menulis puisi saja mereka masih lemah. Selain itu, tidak semua orang khusunya penulis baru mahu mendeklamasikan puisi. Begitu juga dengan Rodiah, turut tidak bersetuju untuk membuat acara baca puisi. Hasil perbincangan akhirnya memilih karya-karya yang keluar di akhbar lokal.

Suntik di Sandakan.

Kali ini perbincangan memfokuskan tentang kaedah dan konsep program. Antara yang dibincangkan. Pertama, program ini diadakan secara santai. Tidak perlu mengikut skema mana-mana acara yang pernah diadakan sebelum ini. Tidak perlu protokol atau ucapan para perasmi. Hal ini kerana ia perlu terus memfokus kepada perbincangan terhadap karya.

Kedua, juri mestilah terdiri daripada penulis mapan Sabah. Kearifan dan pengalaman golongan ini sangat diperlukan oleh penulis baru. Ketika acara berlangsung, penulis baru boleh mengutarakan persoalan mereka secara terus. Malah mereka juga boleh mempertahankan karya mereka. Berlaku interaksi antara penilai dan pengkarya. Melalui kaedah ini, ia diharapkan dapat menimbulkan permata yang ada dalam karya. Dalam pemahaman mudah, hujah juri juga boleh disangkal. Audiens boleh tidak bersetuju dan mengutarakan pendapat mereka. Semua demi kebaikan dan perkembangan pemikiran para penulis.

Suntik juga bertujuan untuk memperlihatkan para penulis baru bagaimana pemikiran para penulis mapan. Selalu kita dengar keluhan anak muda dalam isu penulis mapan dan baru. Melalui Suntik mereka (penulis baru) berpeluang bersemuka dengan penulis mapan. Dalam acara ini juga hadirin diberikan kebebasan samada ingin bertanya, mempersoalkan, bahkan mengkritik para penilai! Ia merupakan ruang yang terbaik untuk kedua-dua golongan. Melalui acara ini juga ia menyerlahkan kredibiliti para penulis mapan yang dipersoalkan oleh penulis baru. Bagaimana ‘kematangan’ pengalaman penulis mapan menangani persoalan yang timbul, nampaknya sangat membantu merobohkan tembok yang menghalang mereka yang kurang berpengalaman.

Sejak dari mula lagi, perancangan Suntik memang ingin melihat kedua-dua golongan ini bertemu. Bagi yang baru dapat mempelajari sesuatu yang baru. Sebaliknya, yang mapan menjadikan acara Suntik sebagai ulangkaji demi menajamkan lagi mata pena. Ada yang mengatakan menulis tidak susah. Penulis kerjanya menulis sahaja. Walaubagaimanapun penulis sebenarnya tidak sekadar menulis. Berfikir adalah tugas utama.

Semakin lama, Suntik mula diperkatakan dalam kalangan penulis tempatan. Suntik mendapat sambutan yang baik. Sokongan para penulis terhadap acara ini semakin bertambah. Ahmad Tauhari ada menulis dalam Dewan Sastera bil. 4 2018. Malah, artikel ini menjadi fokus majalah tersebut. Beliau mengatakan ia merupakan satu kejayaan besar bagi penulis negeri ini dalam usaha memelihara sastera. Selain itu, beliau juga menyatakan “Program Suntik ini memberikan kesedaran kepada penulis Sabah (khususnya) untuk berusaha membaiki penghasilan karya masing-masing”. Dalam perenggan seterusnya beliau mengatakan Suntik “seolah-olah menjadi “pemimpin” sastera Sabah untuk bertahan menghadapi gelombang arus globalisasi”.

Para penulis Sabah juga menyatakan Suntik satu program yang baik. Menurut Mabulmaddin Shaiddin “Ia mengumpulkan para penulis untuk saling bertemu dalam satu acara santai. Ia menjadi salah satu pendekatan yang dapat merapat dan memperkuatkan barisan penulis khususnya di Sabah. Selain, memperkenalkan penulis mapan tempatan kepada generasi baru. Ia juga berupaya menghidupkan semula semangat menulis penulis yang sudah lama tidak bergiat aktif. Melalui acara ini diharap dapat meningkatkan lagi kualiti karya bagi kedua-dua generasi”.

Setakat ini suntik memasuki kali ke-11 diadakan. Di tempat dan masa yang sama pada 30 Jun akan datang. Jadi, anda semua dijemput hadir.